Menjelang aksi perlawanan pertama Kejohanan AFF Bawah 23 Tahun (B-23) esok, skuad negara berdepan sedikit masalah apabila penyerang JDT II, Shafi Azswad Sapari disahkan positif COVID-19 semasa tiba di Kemboja semalam.

Shafi dipanggil untuk menggantikan tempat sorang lagi pemain yang digugurkan kerana turut positif COVID-19. Namun begitu, khidmat beliau tidak dapat digunakan sekaligus memaksa Malaysia meneruskan kempen dengan 27 orang pemain.

“Ujian PCR sebelum berlepas dari KLIA adalah negatif tetapi beliau disahkan positif menerusi satu ujian ketika tiba di sini (Kemboja).

“Pendaftaran pemain telah ditutup semalam, jadi kami terpaksa meneruskan kempen dengan 27 pemain,” kata Ketua Jurulatih Malaysia B-23, Brad Maloney dipetik dalam Bernama.

Dua pemain yang digugurkan kerana positif COVID-19 sebelum ini ialah Muhammad Safwan Mazlan dan Fahmi Daniel.

Skuad B-23 kebangsaan akan memulakan saingan Kumpulan B menentang Myanmar pada Selasa, 15 Februari dan Laos pada Jumaat, 18 Februari, kedua-duanya di Stadium Prince, Phnom Penh.

Satu lagi pasukan yang sepatutnya berada dalam Kumpulan B bersama Malaysia iaitu musuh tradisi, Indonesia sudah menarik diri daripada persaingan akibat dibelenggu masalah kecederaan dan wabak melanda.

Saksikan siaran langsung semua perlawanan yang melibatkan skuad Malaysia B-23 di saluran TV9 Di Hatiku bermula 15 Februari ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Piala AFF B-23: Empat Tonggak Utama Dipanggil Perkuat Benteng Pertahanan Malaysia

Piala AFF B-23: Wan Kuzri Tak Jadi Sertai Skuad Malaysia

Datuk Hamidin Jelaskan Sebab Sebenar Sumareh Tolak Panggilan Ke Skuad Kebangsaan

Kim Pan-gon Mula Tugas Latih Harimau Malaya Pada Bulan Mac 2022